Khamis, 29 Jun 2017 | 8:32pm

Malaysian Tigress dibenam Scotland

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki wanita negara menutup tirai kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di tangga ke-10 selepas akur tewas 0-1 di tangan Scotland, di Brussels, Belgium sebentar tadi.

Sarah Robertson muncul penjaring tunggal perlawanan pada minit ketujuh permainan menerusi pukulan sudut penalti.

Kekalahan itu adalah yang kelima buat pasukan bimbingan Dhaarma Raj Abdullah selepas tewas dalam semua perlawanan Kumpulan B.

Selain Malaysia turut berada dalam kumpulan itu ialah Australia, New Zealand, Belgium dan Sepanyol.

Pada aksi pembukaan kumpulan, Malaysia tewas di tangan Australia 0-3 sebelum dikalahkan Sepanyol 1-3. Pasukan wanita negara kemudiannya di benam Belgium 0-9 .

Mereka kemudiannya tewas 0-1 kepada New Zealand sebelum memuktamadkan penyertaan di Brussels dengan menghuni tangga ke-10 keseluruhan.

Apapun, ini adalah kali pertama buat Malaysian Tigress menyertai pusingan kelayakan terakhir ke Piala Dunia di kejohanan separuh akhir WHL itu.

Berita Harian X