Khamis, 29 Jun 2017 | 9:33pm
KETUA Unit DNA Jenayah, Seksyen DNA Forensik Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon. - Foto Sairien Nafis

Tipu DNA jadi rakyat Malaysia


KETUA Unit DNA Jenayah, Seksyen DNA Forensik Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon melihat proses ekstrak spesimen darah bagi mengetahui kesahihan hubungan kekeluargaan dengan proses ujian DNA Paterniti di Jabatan Kimia Malaysia. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,275 kes pertikaian kesahihan hubungan ibu bapa dengan anak dirujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia (Jabatan Kimia) bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) Paterniti, sejak 2014 hingga Mac 2017.

Antara kes yang dirujuk ke jabatan itu adalah bagi menangani masalah perebutan harta, penipuan identiti dan pemalsuan permohonan kad pengenalan serta taraf kewarganegaraan.

Ketua Unit DNA Jenayah, Seksyen DNA Forensik Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon, berkata daripada jumlah itu, 779 kes diterima pada 2014, 2015 (889 kes) dan tahun lalu, 1,331 kes.

Daripada 3,275 kes yang diterima, katanya, ada yang didapati negatif iaitu DNA tidak sepadan dengan sampel yang dikemukakan.


PROSES memalitkan (staining) spesimen darah pada kad FTA bagi mengetahui kesahihan hubungan kekeluargaan dengan Proses Ujian DNA Peterniti di Jabatan Kimia Malaysia. - Foto Sairien Nafis

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara agensi kerajaan yang banyak menggunakan khidmatnya.

"KDN memohon ujian DNA Paterniti bagi mengetahui status kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara kerana ada kes wanita warga asing mendakwa melahirkan anak hasil hubungan lelaki tempatan.

"Anak itu dilahirkan dan dibesarkan di negara wanita terbabit tetapi datang ke Malaysia bagi menuntut kewarganegaraan, sekali gus memohon kad pengenalan.

"Bagi kes JPA pula, waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan yang bersifat samar-samar dan ingin menuntut wang pencen si mati yang tidak mempunyai anak.

"Sementara kes daripada JPN pula ialah lewat mendaftar kelahiran, kes kecurian identiti dan penipuan permohonan kad pengenalan. Pernah dilaporkan, satu pasangan

menggunakan sijil kelahiran bayi yang sudah meninggal dunia untuk mendaftarkan anak mereka," katanya kepada BH.


PROSES pre-amplifikasi ke atas spesimen darah bagi mengetahui kesahihan hubungan kekeluargaan dengan Proses Ujian DNA Peterniti di Jabatan Kimia Malaysia. - Foto Sairien Nafis

Nor Aidora berkata, ujian DNA Paterniti memberikan keputusan secara tepat untuk mengetahui kesahihan status hubungan kekeluargaan, berbanding kaedah lain.

"Ujian DNA paterniti adalah kes bukan jenayah tertinggi diterima makmal Jabatan Kimia yang diberi mandat untuk menjalankan analisis DNA di negara ini.

"Maklumat DNA yang unik dan eksklusif itu memberikan ketepatan sehingga 99.99 peratus apabila sampel yang diuji adalah daripada bapa atau ibu kandung kepada individu terbabit. Namun kosong peratus sekiranya mereka tiada hubung kait daripada segi biologi," katanya.

Nor Aidora berkata, bagi kes bukan jenayah, ujian DNA paterniti boleh dipecahkan kepada dua kategori iaitu sampel yang diterima daripada orang awam, pihak persendirian atau sampel dibawa agensi kerajaan.

"Kes membabitkan orang awam kerana ada keraguan dan pertikaian hubungan kekeluargaan seperti kes berkaitan nasab, bagi menentukan kesahihan waris dalam urusan pernikahan, pembahagian harta pusaka, status anak angkat selain bayi yang baru dilahirkan.

"Jabatan Kimia pernah menerima sampel DNA seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dihantar ayahnya untuk diuji kesahihan status anak itu sama ada daripada darah dagingnya. Lelaki itu menangis kecewa apabila mengetahui sampel mereka tidak sepadan.

"Kami juga menerima banyak permohonan individu daripada kaum Cina yang mahu menjalani ujian DNA paterniti bagi mengelakkan terjadinya perkahwinan sesama ahli keluarga.

"Mereka menggunakan nama keluarga yang sama seperti Lim atau Tan, keputusan DNA akan menentukan sama ada mereka berasal daripada keluarga yang sama atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menentukan hubungan kekeluargaan dalam urusan hak penjagaan anak kandung atau penyerahan anak angkat.

164 dibaca
Berita Harian X