Jumaat, 30 Jun 2017 | 1:02pm
PERALATAN menghisap dadah yang ditemui anggota APMM dalam bot juragan di perairan Kota Kinabalu, awal pagi tadi. - Foto Ihsan APMM
Bot penumpang didapati tidak dilengkapi jaket keselamatan selain menggunakan nama nakhoda berlainan dalam lesen. - Foto ihsan APMM

Juragan disyaki hisap dadah ditahan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menahan sebuah bot penumpang dan juragannya selepas didapati melanggar Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), di perairan bandar raya ini, awal pagi tadi.

Juragan warga tempatan berumur 37 tahun itu didapati turut membawa peralatan menghisap dadah dan tidak memakai jaket keselamatan, selain menggunakan lesen memaparkan nama nakhoda berlainan.

Pengarah Maritim Daerah Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz, berkata bot terbabit ditahan pasukan ronda APMM yang menjalankan Op Sejahtera pada jam 4.40 pagi tadi.

"Pemeriksaan di bot terbabit menemui satu tiub dan peralatan disyaki milik juragan bot untuk menghisap dadah, selain beberapa kesalahan lain mengikut Enakmen JPDS.

"Juragan dan bot penumpang terbabit diiringi ke Jeti APMM Sepanggar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tangkapan dilakukan mengikut Enakmen JPDS," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, APMM akan terus meningkatkan penguatkuasaan bukan saja untuk memantau operasi bot penumpang, malah membanteras gejala penyalahgunaan dadah membabitkan pengendali bot.

Berita Harian X