Jumaat, 30 Jun 2017 | 5:56pm
PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di KM 121.5, Jalan Johor Bahru-Melaka, di Batu Pahat, kira-kira jam 9 malam tadi. - Foto ihsan PDRM Batu Pahat
PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di KM 121.5, Jalan Johor Bahru-Melaka, di Batu Pahat, kira-kira jam 9 malam tadi. - Foto ihsan PDRM Batu Pahat

3 maut dalam 3 kemalangan

BATU PAHAT: Tiga penunggang motosikal maut dalam tiga kejadian berasingan, malam tadi dan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata dalam kejadian pertama pada jam 8.10 malam di Kilometer (KM) 26.5, Jalan Kluang, Nur Amirul Jemail, 20, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta yang keluar dari simpang.

Katanya, mangsa dalam perjalanan dari Ayer Hitam menghala ke Parit Raya apabila sebuah kereta keluar dari simpang menuju jalan utama.

"Penunggang motosikal tidak sempat mengelak menyebabkannya bertembung dengan kereta terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kedua, Abdul Wahib berkata, Shamsul Azhari Mat Said, 32, yang beralamat di Kampung Tanjung Laboh, dekat sini, maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta sebelum bertembung sebuah lagi kereta kira-kira jam 9 malam di KM 121.5, Jalan Johor Bahru-Melaka.

"Motosikal mangsa dari arah Senggarang, dekat sini menghala bandar merempuh sebuah kereta, menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan.

"Kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi kereta dari arah bertentangan," katanya.

Abdul Wahib berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi di KM 126 jalan sama, Ahmad Fauzi Ahmad Sazali, 16, dari Kampung Sri Ladang, Rengit, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang keluar dari simpang menuju ke jalan utama.

Katanya, ketiga-tiga kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X