Sabtu, 1 Julai 2017 | 12:23am
PEMAIN Negeri Sembilan, Khairul Anwar Shahrudin (kiri) diasak pemain Perlis, Che Mohd Safwan Hazman pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. - Foto Iqmal Hakim Rosman

Liga Perdana: NS terus kukuh cengkaman di puncak

PEMAIN Negeri Sembilan, Jonathan Behe (kiri) diasak pemain Perlis, Muhammad Aliff Jamaluddin pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. - Foto Iqmal Hakim Rosman

SEREMBAN: Pemain tengah, Khairul Anwar Shahrudin muncul wira Negeri Sembilan (NS) apabila jaringan tunggalnya membantu pasukan itu menewaskan Perlis, 1-0, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

NS yang turun dengan misi mempertahankan rekod tanpa kalah selain mahu kekal di puncak carta liga terpaksa menunggu minit ke-62, untuk mendahului lawannya itu.

Kemenangan itu sekali gus memperkukuhkan lagi NS di puncak carta dengan himpunan 32 mata.

Seawal minit keempat, tandukan Bruno Suzuki dari dalam kotak penalti yang menerima hantaran lintang daripada Khairul Anwar Shahrudin, sekadar tepat ke dakapan penjaga gol Perlis, Mohd Jibrail Kamaron Baharin.

Pada minit keenam, pintu gol tuan rumah cemas seketika menerusi serangan balas apabila percubaan menerusi Modibo Konte hampir menerjah jaring, namun penjaga gol tuan rumah Mohd Kaharuddin Abd Rahman tangkas menafikan percubaan itu.

Begitupun, Perlis dilihat menguasai pada peringkat awal permainan manakala NS tampak mencari rentak selepas rehat panjang.

Penyerang baharu tuan rumah, Jonathan Behe hampir meletakkan mereka di depan, namun bola tandukannya di depan pintu gol pada minit ke-24, tersasar.

Pada minit ke-36, Suzuki sekali lagi mensesiakan peluang apabila bola hantaran dari sebelah kiri yang tepat ke kakinya, gagal dimanfaatkan sebaiknya untuk menjaringkan gol.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menembusi benteng lawan masing-masing tidak menjadi apabila menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, skuad Hobin Jang Hobin dilihat cuba memperkemaskan permainan dan pada minit ke-54, tandukan Behe di hadapan pintu gol melepasi palang.

Khairul Anwar akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila tandukannya hasil sepakan sudut Lee Andrew Tuck menerjah jaring untuk gol pertama NS pada minit ke-62.

Jaringan itu menyuntik semangat anak buah Mohd Asri Ninggal apabila mereka melakukan asakan bertali arus ke kubu Singa Utara, namun beberapa peluang menambah jaringan yang diperoleh terutama menerusi Suzuki tidak menjadi.

Malah, kuisan Behe pada minit ke-88 dari dalam kotak penalti juga tidak berhasil untuk menamatkan saingan NS meraih tiga mata.

Berita Harian X