Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:36pm

PATI cuba terjun bangunan lari dari Imigresen


SEBAHAGIAN 147 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan ketika Operasi Jabatan Imigresen Malaysia mengesan PATI kerana tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah termasuk permit kerja dan pasport di kawasan tapak pembinaan di Jalan PCB, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, tiga buruh binaan warga asing melarikan diri di atas bumbung dan cuba terjun dari bangunan.

Bagaimanapun cubaan warga Bangladesh dan Pakistan itu gagal apabila mereka diberkas oleh anggota Jabatan Imigresen yang menjalankan operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di tapak pembinaan di Kampung Badang, Jalan PCB, di sini.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 25 hingga 27 tahun itu melarikan diri kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Dalam serbuan di tapak pembinaan rumah mampu milik itu, seramai 147 warga asing yang terdiri daripada Bangladesh, Pakistan dan Indonesia ditahan dalam operasi yang bermula jam 11 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Wan Mohammmed Saupee Wan Yusoff, berkata operasi itu adalah susulan daripada program E-KAD yang berakhir semalam.

"Dalam operasi selama dua jam yang membabitkan 31 anggota dan pegawai ini, 132 warga Bangladesh, 10 dari Pakistan manakala selebihnya dari Indonesia ditahan yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal terdapat beberapa kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(B) di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan lanjut sebelum semua pendatang asing terbabit dibawa ke pejabat penguatkuasaan di Telipot dan jika terbukti salah mereka akan dihantar ke depoh tahanan di Tanah Merah.

"Majikan akan dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang PATI dan jika gagal bayar boleh dipenjara dan dikenakan sebatan.

"Sejak Februari lalu hingga tengah malam tadi, Jabatan Imigresen Kelantan sudah mengeluarkan sebanyak 1,991 E-KAD membabitkan 229 majikan manakala berdasarkan rekod kami, terdapat kira-kira 3,000 warga asing yang berdaftar di sini," katanya.

Berita Harian X