Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:40pm

Malaysia kekurangan pakar psikologi

KUALA LUMPUR: Malaysia kekurangan ahli psikologi klinikal apabila hanya 140 dilaporkan berkhidmat di seluruh negara.

Ketika ini, nisbah ahli psikiatri kepada jumlah penduduk di Malaysia ialah 1:200,000 (satu doktor merawat 200,000 pesakit mental) jauh lebih rendah daripada 1:10,000 yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ahli psikologi klinikal bertugas merawat mereka yang terjebak kemurungan atau petanda awal penderitaan mental menggunakan kaedah psikoterapi (rawatan sakit jiwa atau gangguan mental secara psikologi).

Beliau berkata, tugas ahli psikologi berbeza dengan pakar psikiatri, sebagai doktor perubatan dan memberikan ubat kepada pesakit yang disahkan menghidap sakit jiwa.

Katanya, kecenderungan peningkatan keganasan dan bunuh diri dalam kalangan remaja boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan mental, yang perlu ditangani segera.

"Selain kekurangan pakar psikologi, negara juga menghadapi kekurangan ahli psikiatri dengan sebanyak 360 pakar psikiatri berdaftar di sektor awam dan swasta di seluruh negara.

"Negara masih kekurangan 3,000 pakar psikiatri untuk mencapai nisbah ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata Malaysia perlu menyegerakan pelaksanaan Pelan Strategik Kesihatan Mental Negara selaras dengan pelan komprehensif WHO untuk menangani peningkatan kes kesihatan mental di seluruh dunia.

Katanya, fokus dan pelaburan dalam kesihatan mental dan kesejahteraan emosi orang muda akan membawa kesan positif pada masa akan datang, sekali gus memastikan modal insan di negara ini sihat secara mental, fizikal dan memiliki daya produktiviti tinggi.

Berita Harian X