Sabtu, 17 Januari 2015 | 2:04pm
Pasaran getah Malaysia dijangka tidak menentu dan akan mengambil sikap tunggu dan lihat minggu depan berikutan ketiadaan arah untuk pasaran berkenaan, kata peniaga. - Foto hiasan

Pasaran getah diramal tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka tidak menentu dan akan mengambil sikap tunggu dan lihat minggu depan berikutan ketiadaan arah untuk pasaran berkenaan, kata peniaga.

Beliau berkata, arah pasaran belum ditentukan berikutan peniaga memantau secara berhati-hati turun naik nilai ringgit dan harga minyak global.

Menurutnya, kekurangan permintaan dan sokongan belian daripada pembeli China juga menjadi faktor yang akan menyumbang kepada keadaan pasaran minggu depan.

"Selalunya pembeli China akan mula membeli getah asli itu bagi mengumpul stok sebelum cuti Tahun Baru Cina.

"Bagaimanapun mereka kekurangan minat belian di pasaran tempatan," katanya sambil menambah China adalah pengguna getah terbesar dunia.

Untuk minggu baru berakhir, pasaran diniagakan keseluruhannya lebih rendah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 merosot 14 sen kepada 492.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut 11 sen kepada 375.50 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi untuk gred tayar SMR 20 turun 18 sen kepada 491.50 sen sekilogram dan lateks pukal jatuh 13 sen kepada 373.50 sen sekilogram. - BERNAMA

Berita Harian X