Ahad, 2 Julai 2017 | 12:04am
PEMAIN Pahang, Matheus Alves Leandro (dua dari kiri) diasak pemain FELDA United dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Liga Super: FELDA kejutkan Tok Gajah


PENJAGA gol FELDA United, Mohd Farizal Harun menahan sepakan pemain Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MARAN: Pasukan FELDA United memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila mengejutkan Pahang 2-1 pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, dekat sini, malam tadi.

Pun begitu, anak buah Dollah Salleh terlebih dulu berada di depan hasil jaringan pantas pemain import, Mohamadou Sumareh dalam keadaan kelam-kabut di depan gawang tuan rumah pada minit pertama permainan.

Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad The Fighters memperkemaskan rentak dengan melakukan serangan balas ke arah pintu gol skuad Tok Gajah yang dikawal Wan Muhammad Azraei Wan Teh.

Hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-5, menerusi gol mudah jaringan pemain import baharu, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi.

Permainan kembali seimbang selepas gol penyamaan itu menyaksikan kedua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati.


PEMAIN FELDA United, Wan Zack Haikal Wan Nor (kanan) rebah diasak pemain Pahang, Matthew Thomas Davies pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pahang hampir memperoleh gol kedua, namun sepakan lencong Wan Zaharulnizam pada minit ke-28 sekadar melepasi tiang gol FELDA United.

Ahmad Syamim Yahya turut berpeluang menjarakkan kedudukan pada minit ke-58 melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol FELDA United, Mohd Farizal Harun.

Kedudukan kekal hingga tamat separuh masa. Bersambung babak kedua, B Satianathan melakukan dua pertukaran dengan mengeluarkan Norshahrul Idlan Talaha serta Curran Lawrence Singh Ferns dan digantikan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Muhd Danial Amier Norhisham bagi memperkemaskan jentera serangan.

FELDA United terpaksa menunggu hingga minit ke-88 bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka apabila bola terkena tangan pemain pertahanan Pahang dalam kotak penalti.

Tendangan penalti itu disempurnakan dengan tenang pemain import FELDA United, Thiago Augusto Fernandes untuk keputusan muktamad, 2-1.

Berita Harian X