Isnin, 3 Julai 2017 | 7:07am

'Window shopping' untuk insurans murah

PENGGUNA kini boleh menikmati pilihan produk insurans motor yang lebih luas pada harga yang kompetitif. - Foto hiasan

HARI ini sudah masuk 9 Syawal. Selepas seminggu beraya dan cuti sekolah, hari ini kita memulakan semula rutin kerja harian. Bagi yang memiliki kereta, elok periksa tarikh tamat tempoh insurans kenderaan itu.

Jika hampir tamat, eloklah kita mula 'window shopping' untuk mendapatkan kadar premium termurah. Bermula 1 Julai 2017, Bank Negara menguatkuasakan liberalisasi kadar tarif insurans motor.

Dengan liberalisasi itu, tidak ada lagi kadar premium tetap seperti sebelum ini yang ditentukan berdasarkan kepada model, usia dan kapasiti enjin kenderaan yang diinsuranskan.

Sebaliknya kadar premium atau sumbangan bagi yang memilih perlindungan takaful ditetapkan berdasarkan kepada pelbagai faktor lain yang menentukan profil risiko pemilik dan kenderaannya.

Ini termasuk usia kenderaan dan umur pemandu, ciri keselamatan pada kenderaan, tempoh kenderaan itu dipandu, lokasi di mana kenderaan biasanya berada dan kesalahan lalu lintas direkodkan.

Berikutan setiap syarikat insurans atau pengendali takaful mempunyai cara berbeza dalam menentukan profil risiko itu, kadar premium ditawarkan juga berbeza. Begitu juga dengan yang perlu dibayar seseorang pemilik kenderaan. Kadarnya berbeza bergantung kepada profil risiko individu itu sendiri.

Jika anda seorang pemandu yang kerap menerima saman kesalahan jalan raya, mempunyai pekerjaan yang memerlukan sentiasa berada di jalan raya dan tinggal pula di kawasan yang ada rekod kecurian kereta yang tinggi, maka anda berada dalam kategori berisiko tinggi.

Justeru jangan terkejut apabila memperbaharui insurans kereta nanti, anda perlu membayar premium lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Sebaliknya, jika anda pemandu berhemah, kurang melakukan perjalanan dan tinggal pula di kawasan perumahan berpagar dengan pengawal keselamatan, kadar yang dibayar lebih rendah kerana anda dikategorikan dalam profil berisiko rendah.

Pada umumnya, sememangnya liberalisasi ini bakal memberikan manfaat kepada pengguna. Dengan penentuan kadar premium lebih liberal, kita sebagai pengguna sepatutnya bakal mendapatkan perlindungan dan perkhidmatan terbaik pada harga lebih kompetitif kerana syarikat insurans dan takaful perlu bersaing bagi menarik pelanggan.

Kita juga secara tidak langsung boleh menentukan kadar premium yang perlu dibayar. Jika mahu kadar premium lebih rendah kita perlu pastikan kita sentiasa berada dalam kategori profil berisiko rendah dengan memupuk tabiat pemanduan selamat dan berhemah.

Ini sudah tentunya akan memanfaatkan juga pengguna jalan raya lain. Namun, di sebalik manfaat itu, tentunya ada pihak yang akan merungut kerana perlu membayar kadar lebih tinggi.

Tabiat memandu senang diubah, tetapi bukan semua mampu menukar pekerjaan atau berpindah ke kawasan kediaman yang dikategorikan syarikat insurans sebagai berisiko rendah.

Berita Harian X