Isnin, 3 Julai 2017 | 6:44pm

Pelancong India maut dipercayai terjun hotel

ANGGOTA polis mengangkat mayat warga India yang dipercayai terjun dari tingkat 12 sebuah hotel di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Ipd Kota Kinabalu
ANGGOTA polis mengangkat mayat warga India yang dipercayai terjun dari tingkat 12 sebuah hotel di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Ipd Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang pelancong lelaki warga India mati selepas dipercayai terjun dari Tingkat 12 sebuah hotel di Bandaraya Kota Kinabalu, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi itu, Hitesh Oswal, 25, dipercayai membuka pintu tingkap dan terjun dari tingkat 12 sebelum jatuh di tingkat lima hotel berkenaan.

Dia datang melancong ke Sabah bersama keluarga angkat sejak tiga hari lalu dan menyewa di hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang lelaki terjatuh dari tingkat 12 di hotel berkenaan sebelum menghantar anggota ke lokasi.

"Pemeriksaan terhadap tubuh lelaki itu dan lokasi kejadian oleh pegawai penyiasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini.

"Mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat. Kedutaan India juga telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini untuk urusan selanjutnya," katanya.

Chandra berkata, motif kejadian, mangsa dipercayai mempunyai masalah peribadi dengan keluarganya di India.

"Mangsa dipercayai berada dalam kemurungan sebelum mengambil tindakan untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 hotel berkenaan," katanya.

Berita Harian X