X
Isnin, 3 Julai 2017 | 8:38pm

Anak wartawan meninggal dunia

AHLI keluarga dan rakan pasangan wartawan itu yang datang menziarahi di Unit Forensik Hospital Shah Alam.
AHLI keluarga dan rakan pasangan wartawan itu yang datang menziarahi di Unit Forensik Hospital Shah Alam.

SHAH ALAM: Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Seksyen 19, dekat sini, hari ini.

Aira Amira Nurul Riduan, yang juga anak kepada pasangan wartawan Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha, 32, dan Norhafiza Che Abdullah, 27, didapati tidak sedarkan diri oleh pengasuhnya ketika beliau mengejutkannya untuk memberikan susu pada jam 1.30 tengah hari.

Bapa mangsa, Nurul Riduan berkata, kali terakhir beliau melihat anaknya itu ketika menghantarnya ke rumah pengasuh itu pada kira-kira jam 9 pagi tadi.

"Saya dimaklumkan melalui panggilan telefon daripada pengasuh kira-kira jam 2.20 petang tadi.

"Pengasuh kemudian membawa anak saya ke Klinik Kesihatan di Seksyen 19 sebelum Aira Amira dirujuk ke Hospital Shah Alam (HSA).

"Anak saya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang tadi," katanya ketika ditemui di HSA hari ini.

Nurul Riduan berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya itu dan menyerahkan semuanya kepada takdir.

"Tuhan lebih menyayanginya," katanya.

Difahamkan, jenazah Aira Amira akan dikebumikan di Felda Besout, Sungkai, Perak pagi esok selepas selesai proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian selain menyatakan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X