Selasa, 4 Julai 2017 | 8:50am

'The Speedy Jantan' ada misi peribadi di ATF

KUALA LUMPUR: Pelari terpantas negara, Khairul Hafiz Jantan mempunyai misi peribadi memperbaiki catatan masa pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bhubaneswar, India, bermula 6 hingga 9 Julai ini.

Beliau yang pertama kali menyertai ATF, berharap saingan sengit yang bakal dihadapi akan melonjakkan prestasinya untuk kembali mencatat masa dalam lingkungan 10.20 saat dalam acara 100 meter.

"Saya mempunyai misi sendiri di India nanti. Saya mahu meningkatkan prestasi semasa beraksi di sana kerana peserta-peserta hebat seperti dari China dan Thailand turut menyertainya, " katanya.

Khairul Hafiz ditemui pemberita pada majlis pelancaran kasut baharu jenama sukan terkenal, 'Puma - Netfit Technology' di sini, semalam.


KASUT BAHARU ... Atlet Olahraga (dari kiri) Badrul Hisyam, Khairul Hafiz Jantan dan Quek Lee Yong mempamerkan kasut terbaharu PUMA 'Ignite Netfit' pada Pelancaran Teknologi PUMA Netfit. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Yang turut hadir, seorang lagi pelari pecut kebangsaan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim.

Sementara itu, Khairul Hafiz dijangka berdepan cabaran getir pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan, apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Eric Cray dari Filipina akan kembali mempertahankan gelaran dimilikinya itu.

"Saya akui memang akan sengit sebab pemenang edisi lalu akan bertanding pada kali ini, namun saya akan menggunakan sepenuh kudrat yang ada untuk mengharumkan negara tercinta," katanya.

Beliau berkata jurulatihnya, Mohd Poad turut menasihatinya supaya tidak melayan perasaan gementar, sebaliknya perlu lebih cergas dan tabah bersaing pada Sukan SEA, nanti.

"Jurulatih pesan supaya jangan biarkan perasaan takut menguasai diri saya, dan mengingatkan saya bahawa pelari lain juga mempunyai perasaan sama cuma yang membezakan kami ialah kekuatan mental masing-masing," katanya.

Khairul Hafiz berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand 2017 dengan catatan 10.31s, sekali gus menewaskan dua pelari Thailand, Crisajda yang mencatat 10.45s, serta Jirapong Meenapra (10.48s).

BERNAMA

Berita Harian X