Selasa, 4 Julai 2017 | 12:42pm

100 Plus kini di semua cawangan McDonald's

PETALING JAYA: F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan McDonald's Malaysia hari ini memeterai kerjasama strategik untuk menyajikan minuman isotonik 100 Plus di semua 261 cawangan McDonald's seluruh negara.

Naib Presiden Kanan Pemasaran bagi minuman tanpa alkohol Fraser & Neave Ltd, Khalid Alvi, berkata kerjasama itu akan memberikan pelanggan McDonald's pilihan untuk menikmati antara jenama minuman paling terkenal itu.

"Sejak dilancarkan 35 tahun lalu sempena ulang tahun ke-100 F&N, 100 Plus berkembang daripada minuman sukan dengan kandungan isotonik yang terbukti dapat menyegar dan menghidratkan badan kepada minuman sedia diminum paling popular.

"Pengiktirafan yang diberikan kepada 100 Plus tulen baru-baru ini sebagai minuman pilihan lebih sihat dalam kempen Pilihan Lebih Sihat anjuran Kementerian Kesihatan membolehkan kami meluaskan capaian produk itu kepada semua segmen rakyat Malaysia," katanya.

Kerjasama itu yang dirancang dua tahun lalu dimeterai berikutan percubaan selama empat bulan di 10 cawangan terpilih McDonald's di pusat bandar utama Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadikan 100 Plus produk F&N pertama ditawarkan di rangkaian restoran makanan segera itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar, berkata penawaran 100 Plus sebagai pilihan dalam portfolio minumannya pasti menjadi tarikan kepada lebih 13.5 juta pelanggan yang mengunjungi rangkaian cawangannya setiap bulan.

"Evolusi 100 Plus sebagai minuman isotonik dan produk sedia diminum memang terbukti dan keputusan kami berganding bahu dengan F&N adalah satu keputusan strategik untuk meluaskan rangkaian tawaran bagi memenuhi cita rasa dan pilihan pengguna kami," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X