Selasa, 4 Julai 2017 | 4:43pm

Liberalisasi tarif insurans untungkan pemandu berhemah

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MyIPO, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Liberalisasi tarif insurans bermula 1 Julai lalu memanfaatkan pengguna jalan raya berhemah yang mengikut undang-undang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengumuman kaedah baharu untuk insurans motor itu perlu diterima baik oleh pengguna.

"Pengguna yang mengikut undang-undang tak perlu takut kerana kaedah ini menguntungkan mereka.

"Pemandu bas yang memandu laju atau pengguna yang banyak lakukan kesalahan jalan raya patut risau," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MyIPO, hari ini.

Liberalisasi insurans motor bermaksud harga produk insurans motor tidak lagi ditentukan berdasarkan Tarif Motor (senarai harga ditetapkan), sebaliknya oleh setiap penanggung insurans dan pengendali takaful.

Menerusi kaedah itu, selain ciri keselamatan dalam kenderaan, tempoh kenderaan berada di jalan raya dan lokasi geografi kenderaan, faktor kesalahan lalu lintas pernah dilakukan akan mendorong kos insurans sesebuah kenderaan.

Pemandu yang mempunyai rekod memandu baik akan menikmati peratusan diskaun tanpa tuntutan (NCD) lebih tinggi sehingga 55 peratus.

Berita Harian X