Selasa, 4 Julai 2017 | 4:53pm

Orang ramai kutip ikan basung bertaburan

TUARAN: Sebuah lori sarat membawa muatan ikan basung terbabas sebelum terbalik di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kaung Lapai, di sini, pagi tadi, mengakibatkan ribuan ikan terbabit bertaburan di tepi jalan raya.

Orang ramai yang melihat kemalangan itu dilihat mengambil peluang mengutip ikan basung yang memenuhi bahu jalan berkenaan.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, pemandu lori berusia lingkungan 30 tahun terbabit tidak cedera.

Pengguna jalan raya, Hendry Lawas, 31, berkata sebaik tiba di lokasi kejadian dia terkejut melihat sebuah lori yang membawa ikan terbalik di tepi jalan dengan muatannya tercampak keluar sehingga ke dalam longkang di tepi jalan.

"Orang ramai terutama mereka yang melalui jalan ini dilihat berpusu-pusu mengambil kesempatan untuk mengutip ikan yang bertaburan," katanya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek, ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan menyebabkan satu lorong terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

"Tinjauan awal mendapati tidak berlaku kesesakan teruk dan kenderaan boleh melalui jalan terbabit, namun bergerak secara perlahan.

"Lalu-lintas di kedua-dua hala dibuka sepenuhnya pada jam 7.30 pagi selepas lori itu dialihkan dengan menggunakan jentera berat," katanya.

Berita Harian X