Khamis, 6 Julai 2017 | 5:43pm

Aduan terhadap media baharu terus meningkat

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) giat menjalankan pelbagai kempen kesedaran dan mengeluarkan banyak peringatan mengenai salah laku netizen melalui media baharu, namun keadaan tidak banyak berubah.

Malah, Jabatan Perlindungan dan Biro Aduan Pengguna (CCB) SKMM menjangkakan akhir 2017, jumlah aduan mengenai salah laku menggunakan media baharu termasuk laman sesawang, media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, malah e-mel akan melebihi angka tahun-tahun sebelum ini.

Pada 2015, SKMM mencatatkan 1,908 aduan mengenai salah laku netizen bagi keseluruhan media baharu dan angka itu meningkat kepada 3,188 pada akhir 2016.

Bagi tahun 2017, jumlah aduan pada akhir Mei adalah 2,340 dan akhir tahun ini, jumlah itu dijangka melebihi angka tahun lalu.

Ketua Jabatan CCB, Ratnawaty Talib, berkata antara lima kategori aduan teratas yang direkodkan dari Januari hingga Mei tahun ini adalah ancaman (753), jenayah siber (555), maklumat palsu (482) fitnah (363) dan bahan lucah (346).

SKMM mendapati 80 peratus daripada aduan yang diterima adalah yang berkaitan kandungan yang terdapat di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram.

Menurut SKMM, bagi suku kedua tahun ini, jumlah tertinggi aduan adalah ancaman dalam talian (41 peratus) dan ucapan kebencian (31 peratus).

Kategori salah laku lain dalam tempoh yang sama termasuk salah guna maklumat (14 peratus), pesanan seks (lima peratus), pembulian siber (enam peratus), penyebaran maklumat peribadi (dua peratus) dan keganasan (grafik) (satu peratus).

Ratnawaty berkata SKMM menerima banyak laporan daripada pengguna mengenai jenayah siber, ucapan kebencian dan ancaman melalui jaringan internet, malah jumlahnya semakin meningkat.

Ucapan kebencian, sebagai contoh, adalah satu jenayah peribadi dan kebanyakannya dilakukan oleh individu atau beberapa individu yang mempunyai niat untuk menyebabkan kemudaratan kepada orang lain dan sewajarnya dilaporkan dan perlu disiasat.

Aduan terhadap penggodaman laman sesawang dan akaun media sosial, serta penipuan dalam talian termasuk penipuan cinta juga meningkat.

Memandangkan lebih ramai orang membeli-belah dalam talian, terdapat banyak aduan mengenai modus operandi yang digunakan untuk menarik pembeli atau barangan yang diterima tidak seperti yang dinyatakan atau yang dibayar.

Peningkatan jumlah pengguna yang pergi ke SKMM untuk membuat aduan atau melaporkan salah laku yang berkaitan dengan media baharu menunjukkan bahawa, kini semakin ramai pengguna yang sedar dan celik mengenai betapa pentingnya untuk membawa perkara itu kepada pihak berkuasa dan tindakan perlu diambil terhadap pelaku-pelaku terbabit.

Aduan yang diterima oleh CCB disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Untuk penipuan(spam), pengelabuan (phishing) dan pengkomplotan(scam), SKMM bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Walaupun Internet adalah amat diperlukan, terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan Internet untuk menipu, memburuk-burukkan, mengancam dan memudaratkan orang lain.

Walaupun kementerian telah menguatkuasakan Akta Komunikasi Multimedia 1988 untuk menghukum pesalah media baharu yang melakukan kesalahan-kesalahan berkaitan, SKMM percaya bahawa kawal selia kendiri adalah kaedah pencegahan terbaik untuk pengguna-pengguna komunikasi dan multimedia.

SKMM telah melaksanakan banyak kempen untuk mendidik para pengguna komunikasi dan multimedia di Malaysia. Salah satu kempen yang dilancarkan ialah Klik Dengan Bijak (KDB) yang pertama kali dilancarkan pada 6 Julai 2012 dengan objektif menyeluruh untuk mewujudkan kesedaran, menyokong penggunaan positif Internet dan mengurangkan jenayah siber.

KDB merangkumi tiga aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab di mana kesemua aspek itu meningkatkan kawal selia kendiri untuk membendung jenayah siber.

Menurut Ratnawaty, melindungi kepentingan pengguna adalah isu yang amat kompleks dan ia menjadi semakin mencabar.

"Kami di SKMM perlu sentiasa bersedia dan meningkatkan diri untuk berada lebih ke hadapan dalam apa juga situasi.

Kami mahu mengalakkan sikap yang positif dalam kalangan orang ramai ketika dalam talian dan supaya sentiasa bertanggungjawab ketika di media sosial. - BERNAMA

Berita Harian X