Jumaat, 7 Julai 2017 | 12:44pm

Pelancongan domestik bakal melonjak

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (PATUT) yakin langkah kerajaan mengecualikan cukai pelancongan kepada hotel bertaraf tiga bintang ke bawah dapat melonjakkan sektor pelancongan domestik di negara ini.

Presidennya, Amir Hakimin Che Razali, berkata ia melegakan golongan sederhana dan kurang mampu yang ingin bercuti dalam negara.

Beliau berkata, ia juga memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada suara rakyat apabila isu cukai itu mendapat maklum balas dan kurang disenangi, terutama dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.

"Perubahan pelaksanaan cukai berkenaan dilihat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan apatah lagi kuasa membeli rakyat ketika ini tidak semewah dulu.

"Kita harap, keputusan kerajaan ini dapat melonjakkan pemain industri perhotelan bertaraf tiga bintang ke bawah di negara kita yang kebanyakannya bergantung kepada pelancong tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata rakyat Malaysia yang menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah tidak dikenakan cukai pelancongan yang akan dilaksanakan 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kelonggaran untuk warga tempatan menunjukkan timbang rasa kerajaan terhadap golongan kurang mampu.

Berita Harian X