Jumaat, 7 Julai 2017 | 2:51pm

3,000 peserta bakal sertai UDA Pekan Bridge Run


PENGERUSI UDA Holdings Bhd, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah. - Foto Eizairi Shamsudin

PEKAN: Seramai 3,000 peserta termasuk dari luar negara bakal menyertai UDA Pekan Bridge Run 2017 pada 22 Julai ini.

Pengerusi UDA Holding Berhad (UDA), Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, acara berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selain menyampaikan hadiah kepada pemenang di Dataran Pekan.

Beliau berkata, acara larian yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu akan membabitkan laluan 21 kilometer, 12 kilometer dan lima kilometer (Fun Run).

"Pertandingan berkenaan antaranya menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1,200 bagi johan kategori separuh maraton sejauh 21 kilometer, RM1,000 (12 kilometer) dan RM500 (lima kilometer)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran acara ini sebagai antara usaha meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami sekali gus membantu mempromosikan bandar ini sebagai destinasi pelancongan sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

"Selain itu, peserta juga berpeluang membawa pulang beraneka hadiah cabutan bertuah termasuk barangan elektrik dan peralatan sukan. Semua peserta yang menyertai larian ini juga akan menerima baju T, pingat dan sijil penyertaan," katanya.

Mohd Shafei juga berkata, jarak larian kali ini lebih mencabar dan sudah pasti laluannya lebih menarik di mana peserta akan berlari sambil menikmati keindahan dan keharmonian bandar Diraja serta melalui pelusuk kampung yang ada di sepanjang laluan.

"Antara peserta akan melalui Dataran Pekan, Istana Abu Bakar, Padang Sukan polo, Jambatan Sultan Ahmad Shah, Muzium Masjid Sultan Abdullah dan Muzium Sultan Abu Bakar," katanya.

Berita Harian X