Sabtu, 8 Julai 2017 | 6:47am

Jadikan kejayaan atlet negara inspirasi murid sekolah

OGOS 2017 bakal menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Sea ke-29. Seperti ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998 dan Sukan Sea 2001, temasya dua tahun sekali ini bakal menjadi tarikan dan bualan mulut rakyat dan penganjuran ini pastinya membanggakan kita.

Selain persiapan rapi bagi menyambut ketibaan atlet negara ASEAN lain, di samping memastikan sepanjang berlangsungnya sukan berkenaan lancar, murid sekolah boleh didedahkan dengan inspirasi kejayaan atlet sukan tanah air. Inspirasi itu sedikit sebanyak dapat memangkin semangat murid untuk berusaha dan berjaya seperti atlet terbabit tidak kira dalam bidang sukan ataupun bukan.

Siapa tak kenal dengan Pandelela Rinong, atlet wanita negara pertama meraih pingat dalam Sukan Olimpik iaitu di London 2012. Di Rio 2016, beliau sekali lagi meraih pingat iaitu pingat perak dalam acara 10m papan anjal seirama bergandingan dengan Cheong Jun Hoong, manakala pada peringkat sukan SEA, beliau tiada tandingan.

Kemiskinan, kesempitan bukan penghalang berjaya

Bagaimana beliau boleh beri inspirasi kepada kita? Pandelela bukanlah berasal dari keluarga senang. Bapanya bekerja sebagai buruh. Tetapi pada hari ini, ibu bapanya boleh tersenyum bangga dengan kejayaan anak mereka. Berkat kesabaran dan pengalaman itulah yang mengajar kita untuk berjaya demi mengubah hidup.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), satu faktor keciciran dalam kalangan murid sekolah ialah kemiskinan. Justeru, apa yang boleh kita pelajari daripada kejayaan Pandelela ialah kemiskinan dan kesempitan hidup bukan penghalang bagi murid untuk menjadi individu yang berjaya dan cemerlang.

Selain itu, siapa yang tidak kenal dengan 'Pocket Rocket' kebanggaan Malaysia; Azizulhasni Awang. Masih segar dalam ingatan ketika temasya Olimpik London 2012, saya bangun tidur awal pagi demi menyaksikan acara akhir keirin. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Azizulhasni. Dalam temasya Rio 2016, beliau menebus kekalahan dengan memperoleh pingat gangsa walaupun saringan peringkat awal penuh mendebarkan.

Pada tahun ini, beliau memenangi gelaran dunia pertama di Hong Kong dalam acara keirin. Bagaimana beliau memberi inspirasi kepada kita semua? Pertama sekali pastinya jangan sesekali berputus asa. Teruskan berusaha untuk capai kejayaan diinginkan.

Satu lagi contoh ialah dalam sukan permotoran iaitu Muhammad Zulfahmi Kamaruddin, pelumba motosikal negara yang menunggang Kawasaki ZX-6R dalam Supersport World Championship. Biarpun pada peringkat awal penglibatannya dalam sukan ini dilihat kurang memberangsangkan, Zulfahmi akhirnya menaiki podium Moto3 pertamanya ketika dia tamat di kedudukan kedua di Grand Prix Portugal pada 2012.

Pada Oktober 2012, beliau sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi pelumba pertama Malaysia yang menaiki podium ketika perlumbaan diadakan di negara sendiri di kedudukan tempat kedua.

Pemain nombor satu dunia

Selain itu ialah ratu squash negara, Datuk Nicole Ann David dan pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. Datuk Nicole adalah pemain nombor satu dunia selama 108 bulan berturut-turut. Beliau diakui ramai pihak sebagai pemain skuasy wanita paling hebat sepanjang zaman.

Antara pengiktirafan tertinggi Nicole termasuk permain terbaik Persekutuan Skuasy Wanita sebanyak tujuh kali, iaitu pada 2005 hingga 2012.

Chong Wei pula menduduki ranking pertama dunia selama 199 minggu berturut-turut iaitu dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012. Beliau atlet Olimpik terbaik Malaysia apabila memenangi pingat perak di Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016. Nicole kini berusia 34 tahun dan Chong Wei, 35, namun kedua-duanya terus bersemangat beraksi demi mengharumkan nama negara.

Justeru, usia bukan penghalang untuk berjaya. Ketahanan mental perlu kuat apatah lagi berhadapan pemain lebih muda, ditambah tekanan dan harapan berjuta rakyat Malaysia. Walau apa pun matlamat kita, ketahanan mental sangat penting untuk berjaya. Kejayaan, semangat dan usaha mereka mampu beri inspirasi kepada semua, khususnya murid sekolah untuk berjaya dalam bidang yang diimpikan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan/ Pengurus Penyelidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

67 dibaca
Berita Harian X