Sabtu, 8 Julai 2017 | 4:34pm

Penuntut kolej ditahan bakar suar di stadium

KUALA TERENGGANU: Seorang penyokong skuad Penyu ditahan apabila disyaki membakar suar selepas perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Suspek lelaki berusia 21 tahun yang juga penuntut di sebuah kolej di Kuala Lumpur itu ditahan selepas kelibatnya memegang suar yang sedang terbakar itu dikesan pasukan polis ketika menjalankan tugas kawalan di stadium berkenaan pada kira-kira jam 11 malam.

Polis turut merampas suar yang sudah habis terbakar dipegang suspek berwarna merah, kuning dan putih dengan cetakan C8001.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, ketika dihubungi berkata sebaik ditahan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

"Suspek terbabit masih lagi ditahan dan ketika soal siasat dijalankan dia mengaku membakar suar terbabit," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Berita Harian X