Sabtu, 8 Julai 2017 | 4:53pm

JPA lulus pertambahan jawatan, gred kakitangan KADA

KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan kenaikan pangkat kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), bermula Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata kenaikan pangkat itu membabitkan kakitangan di bahagian pengurusan KADA.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kakitangan yang akan dinaikkan pangkat belum diputuskan.

"Tahun lalu, lebih 500 daripada 1,000 kakitangan KADA dinaikkan pangkat. Namun, secara menyeluruh kita belum tentukan jumlah kakitangan yang terbabit," katanya ketika ditemui dalam sambutan Hari Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Upih, Ketereh, hari ini.


HISHAMMUDDIN bersama Annuar dan Alwi (kanan) hadir pada sambutan Hari Rumah Terbuka Aidilfitri di Padang Upih, Ketereh, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, kenaikan pangkat dan pertambahan jawatan itu seiring dengan sasaran operasi semula KADA dengan wajah baharu.

Dalam pada itu majlis sambutan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 7,000 penduduk kampung dan sekitar.

16 dibaca
Berita Harian X