Sabtu, 8 Julai 2017 | 8:47pm

Pengkalan Datu menjadi hub pelancongan


MOHD Asri (tiga dari kiri) bersama Zaluzi pada majlis hari raya WASPADA di Cerana Villa.

KOTA BHARU: Kampung Pengkalan Datu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Pengkalan Chepa, di sini akan dijadikan hab pelancongan bagi menyemarakkan ekonomi penduduk setempat.

Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (WASPADA), Mohd Asri Hussin, berkata pihaknya ketika ini sedang berusaha melestarikan khazanah warisan bangsa di sekitar lembangan sungai itu.

"Kita mengenal pasti Pengkalan Datu mempunyai warisan sejarah dan seni budaya seperti dikir barat, seni silat, wau, gasing, rebana dan mak yong yang memberi tarikan kepada pelancongan.

"Selain itu, terdapat seni kraftangan, batik, songket serta kuih tradisional. Malah kami yakin pelancong pasti terpukau dengan keindahan alam, aktiviti pertanian dan perikanan tradisional di lokasi ini," katanya selepas Majlis Hari Raya anjuran WASPADA di Cerana Villa, di sini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman; Timbalan Pengerusi WASPADA Sabari Ab Rashid dan Setiausaha, Che Kasma Ibrahim.

Sementara itu, Zaluzi berkata, sebagai pemimpin tempatan, beliau menyokong pergerakan WASPADA untuk melestarikan kawasan Pengkalan Datu sebagai hab pelancongan dan ekonomi.

"Kita akan bantu mengikut kemampuan kerana usaha ini membolehkan masyrakat setempat untukmenjana pendapatan termasuk perniagaan di Pasar Tani Pengkalan Datu.

"Usaha ini bagus kerana WASPADA mencungkil khazanah di sini dan kami memohon rancangan dipanjangkan kepada agensi terbabit Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Lembaga Pertanian dan Pemasaran Persekutuan (FAMA), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC)

Tamat

Keterangan gambar

Mohd Asri (tiga dari kiri) bersama Zaluzi pada majlis hari raya WASPADA di Cerana Villa, di sini.

28 dibaca
Berita Harian X