Sabtu, 8 Julai 2017 | 11:21pm

Dua maut motosikal rempuh pembahagi jalan


MAYAT penunggang dan pembonceng motosikal dalam kemalangan di Kilometer 435 Lebuh Raya Utara Selatan. - Foto ihsan pembaca

HULU SELANGOR: Dua maut selepas motosikal mereka terbabas dam merempuh pembahagi jalan di Kilometer 435, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya arah ke selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, penunggang motosikal, Muhamad Fadill Baharin, 22, dari Bukit Sentosa Rawang dan pembonceng, Ziana Ameruddin, 21, dari Bukit Beruntung, Rawang, maut akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian tubuh.

Difahamkan, kedua-dua mangsa tercampak ke lorong pemanduan perlahan dan disahkan maut oleh anggota paramedik di lokasi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata motosikal jenis Yamaha LC 135 ditunggang Muhamad Fadill dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi pembahagi jalan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Supramaniam dalam satu kenyataan, tadi.

Berita Harian X