Ahad, 9 Julai 2017 | 2:20pm
Lukisan mural di bahagian sisi bangunan kedai lama di Jalan Banggol bertemakan wajah dan kehidupan masyarakat daripada paparan tema Tahun Melawat Terengganu 2017 turut bertujuan menjadikannya sebagai tarikan pelancong bagi mengenali kebudayaan negeri ini, berjaya disiapkan oleh empat pelukis terdiri daripada anak muda dan belia berusia 24 hingga 40 tahun dari Red Rebel dalam masa sebulan bermula Ramadan lalu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Lukisan mural 'hidupkan' bangunan kedai lama


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee (dua kiri) bersama Datuk Bandar, Zulkifli Abu Bakar (tiga kiri) meluangkan masa melawat lukisan mural di bahagian sisi bangunan kedai lama sempena Program Seni Hias Bandar Kuala Terengganu di Jalan Banggol hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama sembilan badan swasta berjaya menghasilkan lukisan mural di bahagian sisi bangunan kedai lama di Jalan Banggol, di sini bagi menceriakan struktur bandar dalam kawasan pentadbiran negeri.

Lukisan berkonsepkan Wajah Tradisional Terengganu itu berjaya disiapkan oleh empat pelukis terdiri daripada anak muda dan belia berusia 24 hingga 40 tahun daripada Red Rebel dalam masa sebulan bermula Ramadan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata aktiviti melukis mural di bangunan lama di bawah Program Seni Hias Bandar itu mendapat tajaan sebanyak RM313,000 daripada pihak swasta.

"Program ini sudah dilaksanakan sejak Julai 2015. Antara lokasi yang sudah pendapat manfaat daripada pelaksanaan program ini adalah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kompleks Pakir Pasar Kedai Payang, di Pulau Warisan, Kampung Cina dan di kedai lama Jalan Banggol ini.

"Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak muda menterjemahkan bakat lukisan mereka di bangunan lama dengan cara berhemah, malah ia juga sekali gus memberi peluang kepada orang ramai, institusi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama menyumbang mengindahkan bandaraya," katanya kepada media selepas melancarkan program berkenaan di Jalan Banggol, di sini, hari ini.

Mohd Jidin berkata, kerajaan akan meneliti lebih banyak lokasi yang perlu diperbaharui termasuk bangunan lama yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

"Selain menyediakan lebih banyak kemudahan kepada orang ramai, kerajaan juga akan memperbaharui lebih banyak bangunan yang sudah usang dengan menggunakan konsep sama.

"Bagaimanapun, bagi bangunan yang mempunyai sejarah tersendiri, kerajaan akan mengekalkan konsepnya tetapi akan memperbaiki struktur yang rosak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Belia Kreatif dan Inovatif Bandar Raya Kuala Terengganu (Mandalika) Muhammad Azziruddin Majid berkata, selain 13 premis perniagaan di lokasi itu, pihaknya juga menghasilkan lukisan dalam bentuk illustrasi di Kampung Cina.

16 dibaca
Berita Harian X