Ahad, 9 Julai 2017 | 2:54pm

Paip pecah jejaskan 70,000 penduduk


KETUA Pegawai Eksekutif SATU, Atemin Sulong (hadapan) bersama pegawainya melihat kerja-kerja membaik pulih berikutan paip air yang pecah di Loji Air Bukit Losong pada pagi semalam. - Foto NSTP/Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Lebih 70,000 penduduk di sekitar daerah ini terjejas apabila paip di Loji Bukit Losong, di sini, yang membekalkan air bersih ke rumah mereka pecah, awal pagi tadi.

Loji berusia 63 tahun itu dilaporkan pecah sejak jam 7 pagi lalu mengakibatkan 15,000 rumah di Durian Burung, Pulau Musang, Kampung Paloh, Kampung Sungai Rengas, Kampung Kuala Bekah dan Kampung Pulau Rusa mengalami gangguan bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Atemin Sulong, berkata pihaknya giat lumus memperbaiki semula paip yang pecah di loji berkenaan sebaik menerima maklumat kejadian.

Katanya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada keadaan fizikal paip berkenaan yang gagal berfungsi dengan baik.

"Bekalan air dijangka kembali pulih sebelum jam 5 petang ini dan kami harap penduduk terjejas bersabar.

"SATU sudah menggerakkan lori tangki untuk menyediakan bekalan air di lokasi tumpuan seperti masjid dan balai raya supaya penduduk memperoleh air bersih sementara loji dibaiki," katanya ketika ditemui selepas melawat Loji Bukit Losong di sini, hari ini.

Atemin berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan untuk menaik taraf loji terbabit dengan anggaran kos RM100 juta.

Berita Harian X