Isnin, 10 Julai 2017 | 12:43pm

Peneroka tipu permit pasir didakwa

KUALA PILAH: Seorang peneroka FELDA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menipu seorang lelaki dalam urusan pengeluaran permit pasir membabitkan kerugian RM60,000, dua tahun lalu.

Mohd Zain Ahmad, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang lelaki seterusnya mendorongnya menyerahkan wang yang keseluruhan berjumlah RM60,000 pada 19, 22 dan 26 Jun 2015 di Bank Islam Cawangan Kuala Pilah.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 14 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X