Isnin, 10 Julai 2017 | 2:17pm

Perak bina lapangan terbang baharu


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) ditemubual dalam program Selamat Pagi Perak di PerakFM di Kompleks Penyiaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Kerajaan negeri mengenal pasti lokasi bagi pembinaan lapangan terbang baharu tidak jauh dari bandar raya Ipoh bagi menggantikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pembinaan lapangan terbang baharu itu membolehkan ia menampung lebih banyak pesawat selain memungkinkan pembinaan landasan yang lebih panjang berbanding sedia ada yang terhad ketika ini di LTSAS.

Ketika ini LTSAS mempunyai kepanjangan landasan 2,000 meter dan berupaya menerima pesawat Airbus A320.

Katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang mengadakan beberapa siri perbincangan bagi membina lapangan terbang baharu berkenaan dan lokasi itu akan diumumkan selepas perbincangan mengenainya dimuktamadkan.

"Kita sedang membuat perincian dan kita berharap tempat yang dipilih itu nanti akan mendapat kelulusan daripada Kerajaan Pusat.

"Kita sudah mengenal pasti tempat, cuma kita memerlukan beberapa penelitian termasuklah melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), kita akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah pasti dan dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ditemubual ketika siaran langsung Selamat Pagi Perak di Auditorium RTM Perak, Kompleks Penyiaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini.

Zambry berkata, landasan lapangan terbang berkenaan dijangka dibina sepanjang 3,500 meter dan akan mempunyai keluasan yang mampu menampung kemasukan pesawat lebih besar, bukan hanya bagi tujuan sektor pelancongan tetapi juga untuk sektor industri yang akan bangunkan di kawasan berkenaan.

"Lokasi itu menjadi pilihan kerana ia menjadi tempat pertumbuhan dan bersesuaian dari segi kedudukan muka buminya.

"Kalau kita lihat dari segi latar belakang dan kedudukan muka bumi di kawasan berkenaan, saya yakin ia tidak akan memberikan masalah besar kepada tempat terbabit dan ia juga tidak terlalu dekat dengan lapangan terbang lain atau pun lapangan terbang yang sibuk khususnya Lapangan Terbang Pulau Pinang," katanya

Berita Harian X