Isnin, 10 Julai 2017 | 2:37pm

KYP terima 120 lepasan SPM mendaftar bagi sesi Julai

KUANTAN: Kolej Yayasan Pahang (KYP) menerima kemasukan kira-kira 120 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi Julai tahun ini, hari ini.

Seorang pelajar, Nur Ashaqirin Abdul Karim, 18 yang berasal dari Maran berkata, imej KYP dalam memartabatkan bidang pendidikan mendorongnya menyambung pelajaran di institusi berkenaan.

"Saya mendapat maklumat mengenai kursus yang ditawarkan di KYP ketika pihak kolej itu mengadakan program promosi di sekolah...pada masa sama diberikan peluang untuk mengisi borang permohonan kemasukan ke KYP.

"Selain itu, pengalaman yang diceritakan kakak saudara yang belajar di kolej itu sebelum ini turut mendorong minat saya untuk menjadi salah seorang pelajar di kolej bertaraf antarabangsa di pantai timur ini," katanya yang melanjutkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Bagi Fazli Tajudin,18, yang memilih kursus Diploma Sains Komputer di kolej berkenaan berkata kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif menarik minatnya untuk melanjutkan pengajian di KYP.

Beliau yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu berkata, kursus yang ditawarkan di KYP memenuhi minatnya untuk menjadi seorang pelajar cemerlang sekali gus berpeluang menyertai pelbagai program dijalankan kolej berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan KYP, Datuk Norhishamuddin Yaacob berkata, pihaknya akan meneruskan usaha bagi meletakkan KYP pada kedudukan tertinggi selain meningkatkan pelbagai kemudahan di kampus kolej terbabit.

"Kita sudah ada kampus baharu yang dikenali sebagai Kampus Bandar (City Campus) di Bukit Sekilau khusus untuk pelajar program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.

"Selain itu, kita juga dalam proses mendapatkan status kolej universiti dan membangunkan bangunan akademik baharu yang dijangka siap pada bulan Mei tahun hadapan.

"Kita yakin KYP akan terus bergerak ke hadapan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negeri ini smelahirkan golongan pelajar yang produktif dan cemerlang dalam pelbagai bidang," katanya.

Berita Harian X