Ahad, 18 Januari 2015 | 6:21pm

Mangsa banjir di Pahang dinasihat dapatkan rawatan doktor

BERA: Mangsa banjir di negeri ini diminta mendapatkan pemeriksaan doktor segera jika menghadapi komplikasi kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang penyakit.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman, berkata dengan pemeriksaan tersebut tindakan mencegah wabak penyakit bawaan air terutamanya kencing tikus, dapat dilakukan segera.

"Bencana banjir baru-baru ini, dilaporkan lebih 200 peratus penyakit bawaan air berlaku di negeri ini termasuk kencing tikus dan ia tidak boleh dipandang ringan kerana kesan kepada mereka yang menghidap penyakit tersebut sangat berbahaya.

"Saya nasihatkan mereka yang merasakan kesihatan terganggu segera mendapatkan rawatan di hospital, klinik dan pusat kesihatan," katanya kepada pemberita selepas melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di kawasan Gaui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penyakit bawaan air termasuk kencing tikus di negeri ini masih terkawal dan Jabatan Kesihatan sentiasa memantau penularan wabak berkenaan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Norol Azali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Guai turut menasihati penduduk supaya melupuskan segera sampah sarap banjir bagi menghindarkan pembiakan haiwan perosak seperti tikus dan sebagainya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X