Selasa, 11 Julai 2017 | 1:53pm

Keutamaan pembangunan sekitar stesen ECRL

KUANTAN: Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Kuantan 2035 (Penggantian) memberi tumpuan terhadap pembangunan di sekitar kawasan stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dibina di daerah ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata projek ini bakal merancakkan lagi pembangunan di daerah Kuantan melalui pembinaan empat stesen iaitu Gambang, KotaSAS, Kuantan Sentral dan Pelabuhan Kuantan.

"Saya harap draf rancangan ini dapat mengadaptasikan pembangunan berorientasikan transit di sekitar kawasan stesen yang sesuai," katanya pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan (RT) Daerah Kuantan 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Fadzilla Salleh.

Adnan berkata, Kuantan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi Pantai Timur dengan pelbagai sektor perindustrian dan perdagangan tertumpu di sini perlu memanfaatkan sepenuhnya limpahan projek ECRL.

Katanya, kecekapan urus tadbir dan kemudahan infrastruktur sedia ada diharapkan dapat merancakkan lagi perkembangan fizikal dan ekonomi setempat.

"Semuanya (projek pembangunan) perlu dirancang dan diurus dengan baik serta lestari agar ia dapat diwarisi generasi akan datang," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X