Selasa, 11 Julai 2017 | 5:00pm

Tumpuan terhadap pelancong Singapura, China - Razif


MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Terengganu memberi tumpuan terhadap pelancong Singapura dan China, bagi memastikan matlamat mencapai sasaran lima juta pelancong sempena Visit Beautiful Terengganu 2017 (VBT2017) tercapai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata biarpun dunia dan negara berdepan kemelesetan ekonomi, Terengganu tetap mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong setakat tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Kita tahu seluruh dunia berdepan masalah ekonomi dan kita lihat beberapa negara serta negeri lain alami penurunan pelancong terutama daripada pelancong asing walaupun tukaran wang mereka bagus.

"Namun, kita berada di landasan yang baik dan setakat ini jumlah pelancong yang datang ke Terengganu sangat memberangsangkan. Kita yakin sasaran lima juta pelancong akan tercapai," katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Aidilfitri Beautiful Terengganu 2017 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri I, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Timbalan II, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata, ketika ini Terengganu tidak lagi bergantung kepada konsep menyediakan fasiliti dan penginapan hotel kepada pelancong sahaja, tetapi juga menyediakan pakej aktiviti, program dan perkhidmatan di hotel untuk kemudahan pelancong dan pengunjung.

Sementara itu beliau berkata, Santuari Kelah di Tasik Kenyir akan dijadikan pusat penyelidikan yang boleh mengkaji serta melihat pembiakan ikan kelah, selain menjual hasil ikan kelah kepada pengunjung.

"Saya sudah minta Tourism Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) untuk lihat perkara ini kerana santuari kelah ini memang sukar ditemui di tempat lain.

"Kelah merah seperti yang kita ada jarang ada. Jika kelah biasa dijual pada harga antara RM200 hingga RM400 sekilogram, kelah merah yang kita ada di santuari itu harganya tidak kurang RM1,000 sekilogram.

"Jadi kita akan gunakan kekuatan yang kita ada ini kerana kita mahu jadikan Tasik Kenyir yang akan siap sepenuhnya dengan Kawasan Bebas Cukai pada November ini bukan hanya sebagai bebas cukai untuk barangan tertentu, tetapi juga dalam perkhidmatan hotel dan restoran," katanya.

Berita Harian X