Selasa, 11 Julai 2017 | 5:03pm

'Ada hikmah 'false start' di ATF'

 ATLET Lari pecut Kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ATLET Lari pecut Kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

SEPANG: Raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, memberi bayangan melakar kejutan di hadapan ribuan penyokong tuan rumah pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.

Ia bagi menebus kekecewaan ekoran 'false start' ketika aksi final pecut 100 meter (m) di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) Ke-22 di Bhubaneswar, India, sekali gus menyebabkan lariannya dibatalkan.

"Saya melihatnya sebagai satu hikmah dan bukan sesuatu yang dijangka. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

"Lagi pun tumpuan utama seperti dipesan jurulatih ialah Sukan SEA.

"Saya 'false start' di India tapi mungkin di Sukan SEA saya bagi kejutan untuk rakyat Malaysia, Insya-Allah.

"Kalau dilihat bukan saya yang 'false start' tapi pelari di lorong kelima namun saya hanya ikut keputusan pengadil, agak terkilan tapi ia adalah masalah sistem.

"Bukan rezeki saya lagi," katanya yang ditemui setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Khairul Hafiz yang dikenali sebagai The Speedy Jantan, mengakui sudah kembali mendapat rentak larian di ATF malah turut melakar pencapaian terbaik musim ini iaitu 10.24 saat di sana.

"Sasaran saya di India nak dapatkan rentak larian, catatan masa baik.

"Sewaktu saringan saya sudah temui rentak itu (10.28s), bagaimana untuk berlari dan separuh akhir saya dapat berlari 10.24s," kata pemegang rekod kebangsaan acara pecut 100m dengan kepantasan 10.18s.

Mengulas mengenai rangkaian 4x100m bersama gandingan Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap, pelari berusia 19 tahun itu menjelaskan tidak mustahil mampu mencabar Thailand pada KL2017.

"Alhamdulillah, kami sudah temui rentak untuk menyatukan pasukan lari berganti-ganti ini dan dapatkan kembali catatan 39s. Ia akan diperbaiki.

"Saya tidak ada masalah dengan Nixson, kami sudah bersatu. Lagi pun kami akan berlatih bersama dan Insya-Allah akan buat yang terbaik pada Sukan SEA," katanya.

Berita Harian X