Selasa, 11 Julai 2017 | 5:14pm

Gulistan jambatan Iran-Malaysia: Duta


KETUA Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad dan Duta Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham pada Majlis Pelancaran Buku Taman Mawar dan Hari Kesusasteraan Parsi di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Shiraz

KUALA LUMPUR: Karya sastera Parsi seperti Gulistan yang diterjemah ke bahasa Melayu sebagai Taman Mawar boleh menjadi jambatan kepada hubungan Iran dan Malaysia.

Duta Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham, berkata Gulistan yang menjadi karya agung penyair terkenal Parsi, Abu-Muhammad Muslih al-Din Abdallah Shirazi atau lebih dikenali sebagai Sa'di Shirazi, boleh memberi pemahaman lebih baik kepada masyarakat di negara ini mengenai sejarah dan kebudayaan Iran.

"Kekayaan kesusasteraan antara kedua-dua negara ini boleh menjadi sumber besar dalam mewujudkan kerjasama dua negara berdasarkan ajaran Islam.

"Kesusasteraan membolehkan kita melihat kembali dari mana sebenarnya kita datang, sekali gus menjadikan penterjemahan karya Sa'di Shirazi ke dalam bahasa Melayu sebagai langkah yang sangat besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Taman Mawar dan Hari Kesusasteraan Parsi di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad dan Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Iran ke Malaysia, Ali Mohammad Sabeghi.

Marzieh berkata, sebagai timbal balik kepada penterjemahan karya Sa'di Shirazi ke dalam bahasa Melayu, pihaknya akan melakukan penterjemahan karya penulis agung Melayu bagi membolehkan ia dinikmati masyarakat Iran.

Sementara itu, Ali Mohammad berkata, pihaknya dalam proses menterjemah karya bapa kesusasteraan Melayu moden, Hamzah Fansuri, ke bahasa Parsi yang diharap dapat dilancarkan dalam acara sama tahun depan.

Sementara itu, Nafisah berkata, kerjasama antara PNM dan Kedutaan Iran di Malaysia terjalin sejak sekian lama malah perpustakaan itu juga turut memiliki 622 koleksi berkaitan Iran.

"Koleksi dalam simpanan kami kini bukan saja buku, malah siri jurnal aktiviti, video dan peta yang diperoleh daripada pembelian serta program pertukaran dengan Perpustakaan Nasional Iran dan agensi lain.

"Daripada aspek kandungan digital dan elektronik mengenai Iran, ada enam pangkalan data komersial yang dilanggan PNM termasuk EBSCO Host, National Geographic, Travel, World e-book Library dan Overdrive yang mengandungi maklumat mengenai Iran.

"Semua maklumat ini boleh diakses percuma oleh orang awam melalui portal u-Pustaka dengan mendaftar sebagai ahli.

"Saya harap lebih banyak buku dan bahan bacaan berkaitan Iran akan ditambah ke dalam koleksi kami supaya boleh diakses masyarakat," katanya.

Berita Harian X