Selasa, 11 Julai 2017 | 7:00pm

Madonna rasmi unit pediatrik hospital Malawi

Madonna. - Foto AFP

BLANTYRE: Bintang pop Amerika Syarikat (AS) Madonna dijangka merasmikan sayap hospital kanak-kanak yang dibina badan kebajikan miliknya di Malawi hari ini dan dinamakan sempena seorang daripada empat anak angkat tempatan.

Unit hospital pediatrik Mercy James di sini, bandar kedua terbesar di Malawi, mengambil masa dua tahun untuk dibina, termasuk tiga bilik pembedahan serta wad 50 katil.

Ia adalah unit kesihatan khas pertama untuk kanak-kanak di negara miskin di selatan Afrika itu, menggandakan kapasiti untuk penjagaan pediatrik di hospital Queen Elizabeth.

Pegawai kerajaan mengesahkan, Madonna, 58, berada di sini untuk majlis pembukaan hari ini, yang turut dihadiri Presiden Peter Mutharika.

Awal tahun ini, Madonna mengambil anak angkat kembar perempuan dari rumah anak yatim di negara itu selepas mendengar kisah mereka menerusi badan kebajikannya, 'Raising Malawi.'

Pasangan kembar, Estere dan Stella, empat tahun, menyertai penyanyi itu dan dua lagi anak kelahiran Malawi, Mercy James dan David Banda, kedua-duanya 11 tahun.

Madonna, yang mewujudkan badan kebajikan itu pada 2006, kerap melawat Malawi, mengambil Mercy dan David sebagai anak angkat tahun lalu ketika melawat kerja pembinaan di sayap hospital berkenaan. - AFP

Berita Harian X