Selasa, 11 Julai 2017 | 11:58pm

TRW tersungkur di tangan T-Team


PEMAIN T-Team FC, Mahamadou Samassa (tiga kanan) menanduk bola cuba diselamatkan penjaga gol Kelantan, Mohamad Ramadhan Abd Hamid pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. - Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: T-Team bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Kelantan 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada babak pertama apabila beberapa percubaan, sama ada tersasar atau diselamatkan penjaga gol masing-masing.

Namun, The Red Warriors (TRW) terlebih dahulu berada di depan hasil rembatan Mohd Khairul Izuan Rosli dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-50.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Dilsod Sharofetdinov pada minit ke-79.

Lima minit berselang, Muhammad Fauzi Abdul Kadir menanduk masuk untuk meletakkan tuan rumah di depan, hasil hantaran Syed Sobri Syed Mohd.

Pada minit ke-86, Yannick Ndjeng terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan pelawat apabila mudah menolak masuk untuk gol ketiga T-Team.

Berita Harian X