Rabu, 12 Julai 2017 | 1:58am

Kittel menang peringkat 10, Froome kekal jersi kuning


Marcel Kittel

BERGERAC (Perancis): Marcel Kittel sukar ditewaskan apabila menguasai satu lagi peringkat yang berakhir dengan pecutan beramai-ramai di Tour de France, kata lawannya.

Pelumba Jerman itu mengumpul kemenangan peringkat keempatnya dalam jelajah tahun ini apabila menjuarai kayuhan peringkat 10 sejauh 178km dari Perigueux ke Bergerac, sambil pelumba Sky, Chris Froome mengekalkan jersi kuning pendahulu keseluruhan.

Rakan senegara Kittel, John Degenkolb menduduki tempat kedua manakala pelumba Belanda, Dylan Groenewegen (Lotto) di tangga ketiga, dan kemudian mengakui sukar untuk menewaskan jaguh pecut itu.

"Ketika saya memasuki kilometer terakhir, saya sangkakan pecutan sudah berakhir tetapi keajaiban berlaku dan Marcel memotong saya!" kata Degenkolb yang mewakili pasukan Trek.

"Saya memecut untuk mencuri angin di belakangnya dan itu menyebabkan saya menduduki tempat kedua. Hari ini, dia (Kittel) memang sukar ditewaskan."

Kittel, 29, pelumba pasukan Quick Step, mudah meluru ke depan daripada kelompok enam pelumba pecut sebelum melintasi garisan penamat dengan selesa.

"Memang benar, mengagumkan, saya tak dapat gambarkan rasa bangga saya," katanya. "Ini adalah kemenangan peringkat keempat dalam masa 10 hari, itu adalah satu pencapaian besar bagi saya dan pasukan," katanya yang mengangkat tangan lebih awal.

Kittel juga sebelum ini memecah rekod dipegang pelumba legenda Jerman, Erik Zabel dalam mengumpul 13 kemenangan peringkat dalam kariernya di Tour de France, selain mengukuhkan cengkaman jersi hijau untuk saingan raja pecut dengan lebih 100 mata di depan pencabar terdekat, Michael Matthews.

Bagi juara tiga kali dan juara bertahan, Froome, peringkat itu sekadar kayuhan selamat dengan berada di dalam kelompok besar.

"Tenang saja hari ini, tiada tekanan dan tiada halangan angin - peringkat yang tidak sukar," kata pelumba Britain itu yang lega selepas lima pelumba termasuk pencabarnya, Richie Porte (BMC) terkeluar daripada saingan tahun ini berikutan insiden kemalangan Ahad lalu.

Froome masih mengekalkan kelebihan 18 saat di depan pelumba Itali yang mewakili pasukan Astana, Fabio Aru manakala pelumba AG2R, Romain Bardet di tangga ketiga, ketinggalan 51 saat. - AFP

Berita Harian X