Rabu, 12 Julai 2017 | 11:10am
Sebahagian Pengetua, Guru Besar dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melafazkan ikrar bebas rasuah di Majis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar. - Foto NSTP/Azhar Ramli

450 warga JPN Perlis lafaz IBR

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail, (tiga dari kiri) menyerahkan dokumen bebas rasuah kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Perlis, Yaacob Angah, (tiga dari kanan) ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar. - Foto NSTP/Azhar Ramli

KANGAR: Seramai 104 pengetua dan guru besar dari semua sekolah di Perlis hari ini menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) sekali gus menyatakan komitmen untuk memerangi rasuah.

Mereka adalah sebahagian daripada 450 kakitangan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis yang menyatakan komitmen itu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Majlis Menandatangani IBR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, di sini.

Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail, berkata ikrar dilafaz itu menjadi satu perjanjian di mana ia turut mengingatkan semua warga kerja JPN supaya jangan sesekali mengamalkan budaya rasuah.

"Ramai yang tahu ia adalah perbuatan yang salah, tetapi masih melakukannya, dengan adanya program seperti ini diharapkan ia memberi lebih kefahaman kepada semua mengenai apa itu rasuah," katanya.

Izmi berkata, penerangan oleh SPRM dapat membantu orang ramai khususnya warga JPN untuk lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.

Sebahagian Pengetua, Guru Besar dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis melafazkan ikrar bebas rasuah di Majis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar. - Foto NSTP/Azhar Ramli

"Salah guna kuasa dan memalsukan dokumen antara perkara yang dilihat kecil dan ramai beranggapan ia bukan rasuah, namun ia tetap salah dan kesalahan itu memberi implikasi yang cukup besar bagi sesebuah organisasi," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif dilakukan JPN dalam memerangi rasuah.

"Mereka adalah agensi paling ramai yang melafazkan dan menandatangani IBR di negeri ini," katanya.

JPN adalah agensi keempat di negeri ini melaksanakan IBR selepas Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Pejabat Setiausaha Kerajaaan Negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs).

Berita Harian X