Rabu, 12 Julai 2017 | 5:47pm
Keadaan lori mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 354.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah pagi tadi.

Kelindan maut, pemandu cedera


Keadaan lori mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 354.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah pagi tadi.

TAPAH: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 354.5, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 7.30 itu, Muhammad Farhaan Mohamed Subhan, 20, maut di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan manakala Mohd Aidil Shukri Din, 32, cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas pemandunya dipercayai mengantuk hingga mengakibatkan kenderaan itu terbabas merempuh penghadang jalan.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Somsak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut.

"Lori berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan pada sebelah kanan.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X