X
Rabu, 12 Julai 2017 | 7:29pm

UDA lancar 5 projek kediaman baharu

DATUK Ahmad Abu Bakar bergambar bersama kakitangan UDA pada majlis Rumah Terbuka UDA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail
DATUK Ahmad Abu Bakar bergambar bersama kakitangan UDA pada majlis Rumah Terbuka UDA di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA) bakal melancarkan lima lagi projek pembangunan baharu pada separuh kedua tahun ini, dengan tumpuan kepada unit kediaman mampu milik.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Ahmad Abu Bakar, berkata projek berkenaan antara lain menawarkan rumah berharga antara RM350,000 hingga RM500,000 di beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Perak.

Beliau berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi kelima-lima projek berkenaan dianggarkan bernilai sekitar RM500 juta.

"Walaupun pasaran hartanah masih kurang memberangsangkan, kami masih positif bahawa ia akan pulih tidak lama lagi. Bagi prestasi kumpulan pada separuh pertama, apa yang saya boleh katakan kami masih menunjukkan kemajuan dan membuat keuntungan.

"Bagaimanapun, tiada sebarang pelancaran projek baharu pada separuh pertama kerana kami masih mempunyai stok unit kediaman yang perlu dijual," katanya pada sidang media selepas majlis Rumah Terbuka UDA di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Pengerusi UDA, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Ahmad berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menjual 400 unit kediaman daripada 900 unit stok yang ada pada permulaan tahun ini.

"Kami akan terus menjual stok sedia ada itu walaupun berhadapan situasi mencabar, terutama membabitkan kelulusan pembiayaan daripada bank.

"Pembeli ada tetapi mereka sukar untuk mendapat pembiayaan. Jadi saya berharap Bank Negara Malaysia dapat memberi kelonggaran terhadap kriteria pinjaman perumahan," katanya.

Beliau menambah, UDA juga kekal optimis dapat mencapai sasaran jualan sebanyak RM500 juta yang ditetapkan tahun ini.

"Sehingga kini, kami sudah memperoleh lebih RM200 juta dan berharap angka berkenaan akan terus berkembang pada separuh kedua tahun ini," katanya.

Pada majlis sama, UDA meraikan empat kakitangannya yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana serta 16 anak kakitangan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM.

INFO

* UDA sehingga kini sudah jual 400 stok unit kediaman daripada 900 unit yang ada pada permulaan 2017

* Optimis dapat capai sasaran jualan sebanyak RM500 juta yang ditetapkan tahun ini

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X