Khamis, 13 Julai 2017 | 10:48am

AS sedia naikkan lagi kadar faedah


JANET Yellen.- Foto Reuters

WASHINGTON: Ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah cukup teguh bagi Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar faedah dan mengecilkan portfolio bon yang besar.

Ia meskipun kadar inflasi dan neutral yang rendah mungkin menyebabkan bank pusat AS itu berdepan dengan tugas yang sukar, kata Pengerusi Fed, Janet Yellen.

Dalam kemunculan yang mungkin kali terakhir di hadapan Kongres, Yellen berkata sebuah ekonomi yang meskipun berkembang dengan perlahan, namun terus menambah peluang pekerjaan, mendapat manfaat daripada perbelanjaan isi rumah yang stabil dan peningkatan pelaburan perniagaan kini disokong oleh suasana ekonomi lebih mantap di luar negara.

Fed terus menjangkakan bahawa evolusi ekonomi akan mewajarkan kenaikan secara berperingkat kadar dana persekutuan pada masa depan, kata Yellen dalam testimoni yang disediakan lebih awal.

Pengecilan portfolio Fed berjumlah AS$4 trilion (RM17.15 trilion) dalam bentuk sekuriti berkemungkinan dimulakan tahun ini, kata Yellen.

Bagaimanapun, beliau juga menjelaskan dengan anggaran ketika ini, kadar dana persekutuan 'tidak perlu terus dinaikkan' untuk mencapai paras neutral yang tidak memberikan impak kepada aktiviti ekonomi.

Fed masih merasakan ekonomi memerlukan dasar monetari yang longgar dan bersifat akomodatif, maka kadar neutral lebih rendah bermakna Fed mungkin terpaksa memperlahankan kadar kenaikan faedahnya pada masa akan datang.

Buat masa ini, Yellen memberitahu Jawatankuasa Parlimen bagi Perkhidmatan Kewangan bahawa ekonomi adalah cukup kukuh bagi Fed meneruskan kenaikan faedah secara berperingkat.

Menjawab soalan daripada penggubal undang-undang, Yellen berkata beliau menjangkakan pengecilan portfolio akaun negara akan berjalan lancar di dalam pasaran.

Pengurangan di dalam akaun itu, akan bermula perlahan-lahan kerana Fed hanya melabur semula sebahagian pegangan yang matang setiap bulan.

Ia menandakan proses penamatan terakhir dasar yang dikaitkan dengan krisis.

-Reuters

Berita Harian X