Khamis, 7 Ogos 2014 | 11:23pm
Mohd Puat (tengah) bersama kakitangan Wisma Darulaman menyuarakan bantahan mengenai pengguna sebuah laman sosial yang menghina Yang di-Pertuan Agong. - Foto Danial Noordin

Siasat Facebook hina Yang di-Pertuan Agong

Alor Setar: Pihak berkuasa digesa bertindak tegas terhadap pemilik akaun Facebook atas nama 'Chandra Lawan Tetap Lawan' berikutan penghinaan yang menjadikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, sebagai sasaran.

Gesaan itu dibuat Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (PPTNK), Alumni Pegawai Tadbir Negeri Kedah dan Kesatuan Penghulu/ Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, yang menyifatkan perbuatan itu provokasi melampau yang mencabar institusi diraja serta seluruh rakyat negara ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd Puat Mohd Ali, yang mewakili pertubuhan terbabit, berkata pihaknya mengecam tindakan pemilik akaun Facebook terbabit yang disifatkan sudah sampai ke tahap maksimum dan perlu dihentikan demi menjaga kedaulatan Raja-Raja.

"Apa yang saya lihat kini, terlalu banyak individu atau kumpulan yang sewenang-wenangnya menggunakan kelebihan di alam siber untuk menghina dan kemudian mohon maaf, ia sudah jadi trend masa kini. Hina siapa saja tanpa mengambil kira sensiviti, kemudian dengan mudah buat permohonan maaf.

"Dalam kes ini, bagi kami ia sudah keterlaluan apabila membabitkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dengan cara yang jengkel dan sangat menghina, bukan saja kepada satu pihak tetapi kepada seluruh negara ini.

"Saya harap kes ini tidak dibiarkan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sehingga menimbulkan tanggapan buruk masyarakat mengenai kaedah penguatkuasaan terpilih membabitkan beberapa individu berlainan kaum ketika ini," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Sekurang-kurangnya sembilan laporan polis dibuat di Kedah, susulan tindakan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, oleh laman Facebook 'Chandra Lawan Tetap Lawan.

Antaranya membabitkan PPTNK; Majlis Kerabat Diraja Kedah (MKD); Pergerakan Pemuda UMNO Kedah; Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA); Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Kedah; Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Negeri Kedah.

Sementara itu, Yang Dipertua MKD, Syed Idrus Syed Baharom, menyifatkan dalang di sebalik perbuatan itu sebagai tidak layak bergelar warganegara dan perlu diusir dari Malaysia.

"Ini bukan perkara main-main seperti banyak perbuatan lain yang dilakukan sebelum ini. Ini membabitkan Raja dan kita tidak boleh ringan terhadap perkara seperti ini," katanya.

150 dibaca
Berita Harian X