Sabtu, 15 Julai 2017 | 12:22pm

Penghulu mohon elaun keraian


GHAZALI Taib (dua kiri) diiringi Pengerusi Kesatuan Penghulu Semenanjung Malaysia Cawangan Terengganu, Mohd Adnan Mohd Amin (kiri) beramah mesra dengan pesara-pesara pada majlis Penutup Program Penerangan TTB - Penghulu Terengganu dan Perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Terengganu di TH Hotel dan Convention Centre, Kuala Nerus. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Terengganu memohon ehsan kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian elaun keraian kepada 79 penghulu di negeri ini.

Pengerusinya, Mohd Adnan Mohd Amin berkata pihaknya memahami situasi ekonomi masa kini tetapi mereka berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan itu apabila keadaan ekonomi sudah pulih nanti.

"Dahulu kita pernah mendapat elaun keraian ini. Elaun kerain ini diberi sebanyak lima peratus daripada gaji iaitu anggaran RM300 seorang.

"Namun elaun ini diberhentikan pada tahun 1990 kerana kegawatan ekonomi," katanya kepada media selepas Perasmian Majlis Penutup Program Penerangan TTB - Penghulu Terengganu 2017 dan Perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu /Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Terengganu Kali ke-42 Tahun 2017 di TH Hotel & Convention Centre, di sini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan Tugas- Tugas Khas Negeri Ghazali Taib.

Katanya, elaun itu diperlukan memandangkan penghulu adalah antara individu yang bertanggungjawab meraikan rakyat terutama ketika berada di kampung mahupun membantu keperluan mereka.

"Penghulu sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan penuh kepada kerajaan masa kini.

"Kami akan sentiasa memastikan semua penghulu sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, bekerja keras dalam memastikan pemerintahan masa kini mendapat kemenangan besar pada pilihan raya nanti," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X