Sabtu, 15 Julai 2017 | 11:59pm

JDT mudah kilas Sarawak

KETUA jurulatih Johor DT, Ulisses Morais memberikan arahan kepada pemainnya ketika menentang pasukan Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) makin hampir menjulang kejuaraan Liga Super untuk musim keempat berturut turut, selepas menewaskan Sarawak 3-1 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Ulisses Morais itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Mohamad Ghaddar pada minit ke-11.

JDT yang bermula garang dilihat beberapa kali menguji gawang gol Sarawak, namun gagal menambah jaringan pada babak pertama.

Sarawak hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi sepakan Nur Shamie Iszuan Amin, namun ditangkap kemas oleh penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi.

Skuad Bujang Senang itu yang turut beberapa kali melakukan percubaan menarik pada separuh masa pertama, namun gagal menembusi kubu pertahanan JDT.

JDT hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-47 babak kedua perlawanan menerusi tandukan Fadhli Shas namun bola melewati palang gol.

Sarawak sekali lagi cemas apabila sepakan deras Gonzalo Gabriel pada minit ke 54 tersasar sedikit, sebelum pemain itu keluar dan digantikan dengan Safawi Rasid.

Walaupun kubu skuad Bujang Senang diserang bertubi-tubi, namun Sarawak bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi sepakan Sahil Suhaimi.

Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak berpanjangan bagi Sarawak, apabila Mohamad Ghaddar sekali lagi meledak gol kedua JDT pada minit ke-73.

Selang empat minit kemudian, pemain gantian Safawi Rasid memastikan JDT terus selesa apabila menjaringkan gol ketiga.

Bermain di hadapan kira-kira 10,000 penyokong, JDT memastikan pasukan itu memperoleh tiga mata penuh.

Berita Harian X