Isnin, 19 Januari 2015 | 5:12pm
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MPOB jangka permintaan MSM meningkat

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan permintaan minyak sawit mentah (MSM) meningkat tahun ini berikutan penyusutan nilai ringgit dan pengecualian cukai yang diberikan kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, berkata situasi itu akan menggalakkan eksport yang tinggi terhadap komoditi, sekali gus memberi kesan kepada paras inventori yang rendah dan harga MSM lebih tinggi.

"Pada tahun lepas, kita mengalami sedikit penurunan dengan permintaan rendah daripada pengimport, terutama China.

"Bagaimanapun, kita yakin pasaran MSM akan terus stabil tahun ini kerana reaksi positif yang timbul daripada situasi banjir pada masa sekarang," katanya kepada pemberita di luar Seminar Unjuran dan Kajian Ekonomi Minyak Sawit 2015.

Menurut buku kecil MPOB yang diedarkan pada seminar itu, jumlah eksport minyak sawit pada 2014 sebanyak 17.278 juta tan bernilai RM44.434 bilion berbanding 18.14 juta tan dengan nilai RM45.269 bilion yang direkodkan pada 2013.

Sementara itu, untuk mencapai sasaran industri minyak sawit menyumbang pendapatan negara kasar (PNK) sebanyak RM178 bilion menjelang 2020, Wan Mohammad Khair-il Anuar berkata cabaran berkenaan juga terletak kepada penghasilan yang berkualiti serta pengeluaran lebih tinggi melalui penyelidikan dan pembangunan.

"MPOB masih memiliki lebihan beberapa bidang tanah yang boleh ditanam dengan lebih banyak pokok sawit untuk mencapai sasaran itu. Kini, kita sedang melihat kepada PNK melebihi RM60 bilion," katanya dan menambah sektor berkenaan mengalami harga MSM yang baik antara RM2,200 dan RM2,300 setan metrik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby Plantation, Renaka Ramachandran berkata, sektor minyak sawit dijangka kekal kompetitif memandangkan tiada GST akan dikenakan ke atas eksport minyak sawit.

"Kadar GST Malaysia adalah enam peratus, terendah berbanding negara jiran, Indonesia pada kadar 10 peratus.

"Pengeluar boleh menuntut kembali bayaran CBP atas input proses pengeluaran produk minyak sawit," katanya. - BERNAMA

48 dibaca
Berita Harian X