Isnin, 17 Julai 2017 | 12:56am

Mollema menang peringkat 15, Froome kekal jersi kuning


BAUKE Mollema memenangi peringkat ke-15 Tour de France selepas secara solo meloloskan diri ke garisan penamat di Le Puy en Velay, dengan Chris Froome mengekalkan jersi kuning pendahulu. - Foto AFP

LE PUY-EN-VELAY (PERANCIS): Bauke Mollema memenangi peringkat ke-15 Tour de France selepas secara solo meloloskan diri ke garisan penamat di Le Puy en Velay, dengan Chris Froome mengekalkan jersi kuning pendahulu.

Diego Ulissi di tempat kedua pada perlumbaan berbukit sejauh 189.5 kilometer dari Laissac-Severac l'Eglise, manakala Tony Gallopin di tempat ketiga.

Namun juara bertahan, Froome terpaksa mengharungi saat mendebarkan apabila dia mengalami kerosakan mekanikal dalam 50km terakhir yang menyebabkan dia ketinggalan 50 saat di belakang pesaingnya.

Froome terpaksa mengambil basikal rakan sepasukan Michal Kwiatkowski untuk meneruskan perlumbaan dan Mikel Nieve, Vasil Kiryienka serta Sergio Henao membantu menarik pendahulu kejuaraan itu kembali ke kumpulan besar 3km sebelum puncak pendakian Col de Peyra Taillade - 30km dari garisan penamat.

Pelumba 32 tahun dari Britain itu melintasi garisan penamat dalam kelompok sama dengan pesaing-pesaing utamanya untuk mengekalkan kelebihan 18 saat ke atas Fabio Aru dari Itali, dengan Romain Bardet dari Perancis di tempat ketiga keseluruhan - 23 saat di belakang juara tiga kali itu.

AFP

Berita Harian X