Isnin, 19 Januari 2015 | 11:21pm

Penyakit berjangkit leptospirosis, melioidosis meningkat di negeri terjejas banjir

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend notifikasi bagi penyakit berjangkit seperti leptospirosis dan melioidosis meningkat di negeri yang terjejas banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hasil pemantauan sejak 1 Januari hingga semalam, sejumlah 647 kes disyaki leptospirosis dilaporkan di negeri yang terlibat banjir, dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi 458 kes, diikuti Perak (113 kes), Terengganu (39 kes) dan Pahang, 37 kes.

"Daripada jumlah itu, bagi tempoh sama juga, 110 kes leptospirosis telah disahkan, iaitu 49 kes di Kelantan, Terengganu (26 kes), Perak (21 kes) dan14 kes di Pahang.

"Di samping itu, dua sukarelawan iaitu dari Terengganu dan Melaka disahkan mengalami jangkitan leptospirosis dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital negeri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi penyakit melioidosis pula, katanya untuk tempoh sama, sebanyak 20 kes disahkan iaitu 13 kes di Pahang, Kelantan (lima kes), dan masing-masing satu di Perak dan Johor.

"Bekalan ubat untuk leptospirosis dan meliodosis di semua negeri terlibat banjir juga adalah mencukupi dan dipantau secara berterusan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, KKM juga sedang bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan bagi mengenalpasti mekanisma terbaik dalam aspek pengurusan sampah, termasuk memastikan kebersihan tandas dan kantin di sekolah-sekolah di negeri-negeri yang terlibat banjir.

Bagi tujuan itu juga, katanya 89 pasukan kesihatan sudah pun digerakkan untuk memantau kebersihan persekitaran kawasan terbabit bagi memastikan tiada pembiakan vektor pembawa penyakit berjangkit seperti lalat, lipas, tikus dan nyamuk.

39 dibaca
Berita Harian X