Rabu, 21 Januari 2015 | 5:17pm

Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat epal tercemar bakteria - Menteri Kesihatan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan pada Rabu mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terjejas akibat pencemaran bakteria 'Listeria monocytegenes' pada buah epal jenis Granny Smith dan Gala yang diimport dari Amerika Syarikat.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, setakat ini kementerian juga tidak mempunyai sebarang bukti untuk menunjukkan epal tercemar itu sudah sampai di Malaysia.

Katanya, tindakan kementerian merampas 20,000 biji epal yang diimport dari Amerika Syarikat daripada dua pusat pengimport buah-buahan di Kuching dan Sibu, Sarawak adalah semata-mata untuk menjalankan pemeriksaan lanjutan.

"Saya juga mengarahkan Bahagian Kawalan Penyakit untuk mengambil epal-epal dari semua pintu masuk sempadan dan kedai-kedai yang menjual epal itu untuk pemeriksaan.

"Setakat ini, kami mendapati tiada kes yang dilaporkan akibat memakan epal dikesan di Malaysia," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Rabu.

Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan dilaporkan mengambil maklum isu pencemaran bakteria "Listeria monocytegenes" pada buah epal jenis Granny Smith dan Gala keluaran Syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan dilaporkan mengarahkan pengimport epal jenis Granny Smith supaya memanggil semula produk itu daripada pasaran berikutan dakwaan epal itu dicemari bakteria, selain menyita buah epal yang terdapat di premis pengimport.

Subramaniam dalam pada itu meminta semua peniaga buah epal agar mempamerkan sumber epal berasal daripada negara mana agar memberi keyakinan kepada rakyat untuk membeli buah itu tanpa was-was serta membuat pilihan yang terbaik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 753 kes disyaki virus kencing tikus atau leptospirosis dilaporkan berikutan kejadian banjir di beberapa negeri bagi tempoh 1 Jan sehingga Selasa. Daripada jumlah itu, Subramaniam berkata 126 kes leptospirosis telah disahkan dengan Kelantan sebanyak 62 kes, Terengganu (28 kes), Perak (22 kes) dan 14 kes lagi di Pahang.

Leptospirosis ialah sejenis penyakit zoonosis (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia), disebabkan bakteria daripada genus Leptospirasis. - BERNAMA

50 dibaca
Berita Harian X