Rabu, 21 Januari 2015 | 11:14pm

GP Malaysia 2015: Perlumbaan di Sepang awal sejam

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia 2015 akan dimulakan sejam lebih awal iaitu pada 3 petang, 29 Mac ini, menurut Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Dalam kenyataan di sini, SIC berkata perlumbaan di Litar Sepang itu akan bermula sejam lebih awal berbanding jam 4 petang sebelum ini.

Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) memutuskan untuk mempercepatkan masa permulaan perlumbaan berikutan cadangan panel penyiasat kes kemalangan membabitkan pemandu Perancis, Jules Bianchi di Litar Suzuka, Jepun tahun lalu.

Bianchi mengalami kecederaan parah di kepala selepas melanggar traktor pengangkut dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat di Litar Suzuka.

"Ini adalah langkah baik untuk memulakan perlumbaan pada jam 3 petang. Kami menyokong langkah ini kerana perlumbaan sebelum ini terjejas dengan cuaca hujan lebat pada lewat petang.

"Kami ingin melihat semua pemandu menamatkan perlumbaan dengan selamat di Litar Sepang," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, dalam kenyataan tersebut.

Selain Grand Prix (GP) Malaysia, waktu permulaan empat lagi perlumbaan iaitu GP Australia, China, Jepun dan Russia juga dipercepatkan sejam lebih awal. - BERNAMA

Berita Harian X