Khamis, 22 Januari 2015 | 6:01pm

Windows 10 teroka masa depan holografik

REDMOND, Washington: Microsoft memperkenalkan versi baharu Windows dan peranti 3D boleh pakai dikenali HoloLens.

Syarikat itu membuat previu set kepala baharu itu yang membolehkan pengguna melihat dan berinteraksi dengan imej tiga dimensi pada majlis pelancaran Windows 10, sistem operasi terbaharu daripada Microsoft.

Windows 10 direka untuk sepadan dengan perubahan corak penggunaan komputer dewasa ini, membolehkan pengguna meneruskan kerja di pelbagai peranti sama ada komputer peribadi (PC) ataupun tablet, telefon pintar serta peranti lain seperti konsol permainan, malah pemancar holografik sekalipun.

Walaupun direka untuk membolehkan aplikasi beroperasi hampir sama dalam peranti berkenaan, Windows 10 juga akan mempunyai pelayar web baharu yang akan disepadukan dengan Cortona, sistem arahan suara seperti Siri yang diperkenalkan Apple.

Microsoft memperluaskan fungsi Cortona untuk menjadi enjin carian dan pembantu peribadi, berupaya menjawab soalan dan memberi maklum balas kepada arahan seperti 'mainkan muzik' di desktop PC dan komputer riba serta peranti mudah alih.

Dalam pada itu, berlainan daripada amalan sebelum ini, Microsoft mengumumkan Windows 10 akan dilancarkan menjelang suku ketiga tahun ini sebagai naik taraf percuma kepada pengguna yang kini menggunakan Windows 8.1 atau 7, dua versi sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, berkata Windows 10 menandakan permulaan era perkomputeran lebih berbentuk peribadi dalam dunia mudah alih dan awan lebih diutamakan.

"Sasaran kami adalah 1.5 bilion pengguna Windows hari ini akan jatuh cinta dengan Windows 10 dan berbilion lagi akan membuat keputusan untuk menjadikan Windows sebagai pilihan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, tempat ibu pejabat Microsoft.

Microsoft memperkenalkan beberapa pengalaman baharu menerusi sistem operasi Windows 10. Antara ciri utama yang diperkenalkan menerusi Windows 10 untuk komputer dan tablet ialah pembantu digital peribadi dikenali sebagai Cortana.

Cortana akan mempelajari keutamaan seseorang pengguna bagi menyediakan cadangan berkaitan serta akses pantas kepada maklumat serta peringatan penting.

Microsoft juga membawakan pengalaman web baharu bagi Windows 10 iaitu "Project Spartan" atau pelayar generasi baharu yang menawarkan keupayaan untuk digerakkan dengan papan kekunci atau pen.

Bagi pengguna konsol permainan Xbox pula, mereka boleh melayari permainan secara terus daripada Xbox One kepada Windows 10, bermain bersama rakan dan merasai pengalaman grafik hebat menggunakan DirectX12.

Dari aspek Microsoft Office pula, Windows menyediakan pengalaman yang lebih konsisten untuk telefon, tablet atau komputer peribadi.

Microsoft juga akan berkongsi versi baharu suite komputer peribadi Office dalam masa beberapa bulan akan datang.

Menerusi Windows 10 juga, Microsoft memperkenalkan platform perkomputeran holografik menerusi Microsoft HoloLens.

Microsoft HoloLens membolehkan pembangun mencipta pengalaman holografik dalam dunia sebenar. Ia juga komputer holografik pertama tanpa memerlukan sambungan wayar, telefon atau komputer.

Sempena pelancaran Windows 10, Microsoft menampilkan peralatan baharu berskrin besar iaitu Surface Hub dalam dua saiz iaitu 55 inci dan 84 inci bagi kegunaan di tempat kerja.

Surface Hub yang menampilkan papan putih digital canggih membolehkan pekerja berkongsi dan membuat ubah suai isi kandungan di skrin daripada komputer riba, tablet atau telefon.

Previu teknikal seterusnya Windows 10 bagi komputer peribadi akan disediakan secara percuma kepada Windows Insiders pada minggu depan dan buat kali pertama untuk telefon pada bulan Februari.

17 dibaca
Berita Harian X